Tampilkan postingan dengan label Syeikh Muhammad Ba Jammal. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label Syeikh Muhammad Ba Jammal. Tampilkan semua postingan

Membantah Sholawat Bid'ah

Membantah Selawat Bidaah Yang Direka-Reka Oleh Umar bin Hafiz -oleh: Syeikh Muhammad Ba Jammal hafizahullah.

____________________________________

*Berkata Syeikh Abu Abdillah, Muhammad bin Abdillah Ba Jammal hafizahullah pada 14 Rabi' al-Awwal 1440 H, di masjid Al-Furqan, Hadramaut, Yaman:*

"Umar bin Hafiz mewasiatkan pada hari-hari ini untuk berselawat ke atas Nabi -sallallahu 'alaihi wasallam- dengan kaifiat yang khas, iaitu (selawat yang berbunyi):

اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّم عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ زَينِ الوُجُودِ صَاحِبِ المَقَامِ المَحمُودِ وَمَعدِنِ الكَرَمِ وَالجُودِ وَعَلَى آلِهِ وَصَحبِهِ وَفَرِّج كُرُوبَ أُمَّتِهِ وَأَصلِح شُؤُونَهُم يَا بَرُّ يَا وَدُودُ

Maksudnya: Ya Allah, limpahkanlah selawat dan salam ke atas sayyid kami Muhammad, perhiasan bagi segala yang wujud, pemilik maqam yang terpuji, dan sumber kemurahan hati dan kedermawanan dan kepada ahli keluarga baginda serta para sahabat baginda. Bebaskanlah kesedihan umat baginda, perbaikilah keadaan mereka, Ya Barr, Ya Wadud"

Dia mewasiatkan sekarang pada bulan Rabi' al-Awwal, untuk dibaca selawat ini dengan lafaz tersebut. Hal ini merupakan perbuatan "istidrak" (usaha memperbaiki) ke atas Nabi sallallahu 'alaihi wasallam kerana Nabi sallallahu 'alaihi wasallam pada waktu turunnya wahyu telah ditanya (oleh para sahabat): "Bagaimanakah caranya kami berselawat kepada anda, sungguh kami telah mengetahui cara memberikan salam kepada anda, lalu bagaimana caranya kami berselawat kepada anda?"

Kemudian baginda bersabda: "Ucapkanlah ...." baginda mengajarkan kepada mereka Selawat Ibrahimiyyah.

Termasuk di antara apa telah kami himpunkan tentang zikir-zikir selawat ialah 8 kaifiat. Antaranya:

Yang pertama: hadith Ka'ab bin 'Ujrah di dalam al-Sahihain.

Yang kedua: hadith Abu Humaid al-Sa'idi di dalam al-Sahihain.

Yang ketiga: hadith Abu Sa'id al-Khudri di dalam Sahih al-Bukhari.

Yang keempat: hadith Abu Mas'ud al-Badri di dalam Sahih Muslim.

Ada beberapa cara dalam berselawat (yang sabit daripada baginda). Dan telah datang juga (lafaz selawat) daripada beberapa orang sahabat, dan Umar bin Hafiz ini tidak merasa cukup dengan apa yang telah cukup untuk para salaf sehingga dia berani mengada-adakan untuk manusia (lafaz selawat yang baharu). Kalau seandainya seseorang itu terkadang mendatangkan sebahagian lafaz dalam berselawat atau yang seumpamanya, maka ini satu perkara yang lain. Akan tetapi orang ini, disamping dia mendatangkan lafaz-lafaz (selawat) yang baharu, ditambah pula dengan perbuatannya memaksakan hal itu kepada orang lain dan mewasiatkannya. Dia berkata: "Aku mewasiatkan kamu semua untuk mengucapkan demikian dan demikian sebanyak 5000 kali" atau yang seumpamanya, maka hal ini termasuk bidaah dan perkara baharu di dalam agama. Ia juga bertentangan dengan apa yang telah warid daripada Nabi sallallahu 'alaihi wasallam dan bertentangan dengan apa yang datang daripada para sahabat dan bertentangan dengan apa yang disebutkan oleh para ulama di dalam kitab-kitab mereka yang terdahulu mahupun yang terkemudian.

Maka dengan itu dia telah membuka pintu (bidaah). Setiap orang boleh mereka-reka. Setiap orang boleh melakukan inovasi. Setiap orang boleh mencipta selawat yang dia memandangnya lebih afdal dan berusaha untuk menyebutkan (di dalam selawat tersebut) sesuatu yang tidak disebutkan oleh yang lain. Dia mendatangkan lafaz-lafaz dan ibarat-ibarat sehinggalah mata pandangan manusia tertuju kepadanya. Di dalamnya ada sikap bangga diri padahal sebaik-baik petunjuk ialah petunjuk Muhammad. Alangkah bagusnya perkataan ini, demikianlah yang disabdakan oleh Nabi sallallahu 'alaihi wasallam, sebaik-baik petunjuk ialah petunjuk Muhammad. Maka seorang insan itu hendaklah mendatangkan apa yang telah dikerjakan oleh Nabi sallallahu 'alaihi wasallam dan apa yang telah diajarkan oleh baginda kepada para sahabat baginda.

Sekiranya ada yang mengatakan: "Telah warid daripada sebahagian sahabat bahawa ada di antara mereka yang berselawat ke atas baginda Nabi sallallahu 'alaihi wasallam dengan kaifiat-kaifiat tertentu", maka jawapannya, yang pertama sekali bahawa hal tersebut bukan hujah kerana yang menjadi hujah ialah apa yang datang di dalam hadith. Yang kedua: ada kebarangkalian mereka dahulunya juga telah mengucapkan selawat tersebut pada zaman Nabi sallallahu 'alaihi wasallam dan baginda mengakui mereka dengan lafaz-lafaz tersebut. Adapun kamu, maka siapakah yang mengakui kamu? Siapakah yang menyetujui kamu? Dan siapakah yang mendukung kamu dalam apa yang kamu perkatakan ini? Oleh sebab itu, hendaklah seorang insan berusaha menepati yang benar. Apa yang telah sabit daripada baginda, di dalamnya ada keberkatan yang tidak ada pada selain baginda.

Kaifiat selawat yang dia sebutkan ini di dalamnya ada kekurangan,

اَلَّلهُمَّ صَلِّ وَسَلِّم عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ زَينِ الوُجُودِ ...

Maksudnya: "Ya Allah, limpahkanlah selawat dan salam ke atas sayyid kami Muhammad, perhiasan kepada segala yang wujud ..." -sampai akhirnya-,

di dalamnya ada kekurangan kerana Nabi sallallahu 'alaihi wasallam telah bersabda:

اَللَّهَُّم صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيتَ عَلَى إِبرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبرَاهِيمَ

Maksudnya: "Ya Allah limpahkanlah selawat ke atas Muhammad dan ke atas ahli keluarga Muhammad sebagaimana telah engkau limpahkan selawat ke atas Ibrahim dan ke atas ahli keluarga Ibrahim."

Di dalam Selawat Ibrahimiyyah ini terdapat dua kali selawat yang disebutkan untuk baginda. Kali yang pertama datang secara nas:

اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ...

Maksudnya: "Ya Allah limpahkanlah selawat ke atas Muhammad.."

Kali yang kedua datang secara tersirat:

عَلَى إِبرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبرَاهَيمَ...

Maksudnya: "ke atas Ibrahim dan ke atas ahli keluarga Ibrahim"

kerana Nabi sallallahu 'alaihi wasallam adalah daripada keluarga Nabi Ibrahim. Demikian juga:

وَبَارِك...

Maksudnya: "dan berkatilah..."

Di dalamnya ada doa untuk baginda dengan keberkatan,

عَلَى مُحَمَّدٍ..

Maksudnya: "ke atas Muhammad..."

Keberkatan pada diri baginda, jasad baginda, anggota badan baginda, ilmu baginda, petunjuk baginda, dan keberkatan pada sunnah baginda setelah kewafatan, serta pada ramainya para pengikut baginda, pada nyatanya sunnah baginda dan demikian juga keberkatan pada apa yang akan diperolehi oleh para pengikut baginda di hari kiamat kelak berupa penghormatan dan pemuliaan. Pada kaifiat selawat yang diwasiatkan oleh Ibnu Hafiz tadi, tidak ada padanya apa yang disebutkan ini. Maka seorang insan itu tidak perlu untuk memberat-beratkan dirinya dan meletihkannya dengan melakukan hal-hal baharu di dalam agama dan bidaah,

مَن أحدَثَ فِي أَمرِناَ هَذَا مَا لَيسَ مِنهُ فَهُوَ رَدٌّ

Maksudnya: "Barangsiapa yang mengada-adakan di dalam urusan agama kami ini sesuatu yang bukan daripadanya, maka ia tertolak."

Dan sabda baginda:

إِيَّاكُم وَمُحدَثَاتِ الأُُمُورِ فَإِنَّ كُلَّ مُحدَثةٍ بِدعَةٌ

Maksudnya: "Berjaga-jagalah kamu dengan perkara-perkara baharu di dalam agama kerana sesungguhnya setiap perkara yang baharu itu adalah bidaah..."

Apabila pintu ini dibuka, maka setiap orang akan mencipta selawat ke atas Nabi sallallahu 'alaihi wasallam lalu disebabkan itu, sunnah-sunnah Nabi dimatikan, dipulaukan dan ditinggalkan. Demikianlah, sunnah-sunnah akan dimatikan dan dipulaukan. Oleh itu, wajib ke atas kita untuk menghidupkan sunnah Nabi dan hendaklah kita mencukupkan diri kita dengan apa yang telah baginda ajarkan kepada kita kerana sesungguhnya di dalamnya ada kebaikan.

Sekarang ini mereka mengada-adakan dan mencipta (hal-hal baharu di dalam agama). Mereka mengatakan: "Kami menyambut maulid Nabi, dan hari memperingati Nabi sallallahu 'alaihi wasallam dan itu dan ini...."

Sambutan yang diadakan untuk suatu perkara, kebiasaannya adalah kerana orang ramai telah melalaikan perkara tersebut, melupakannya dan sibuk daripada mengingatinya. Mereka membuat sambutan itu bertujuan untuk berhimpun beramai-ramai. Akan tetapi, Ahli Sunnah Wal Jamaah yang sebenar-benarnya, tidak memerlukan kepada sambutan-sambutan ini. Kenapa? kerana mereka selalu mengingati dan menyebut Nabi sallallahu 'alaihi wasallam. Mereka menyebut nama baginda di dalam solat, berselawat kepada baginda. Demikian juga mereka menyebut nama baginda di dalam azan dan seluruh umat Islam menyebut nama baginda. Demikian juga di dalam pengajian-pengajian mereka, di dalam ceramah-ceeramah mereka, di dalam khutbah-khutbah mereka, mereka mengimarahkan masjid-masjid dengan itu (menyebut nama baginda).

Di sebahagian masjid ada pengajian setelah subuh, pengajian pada waktu duha, pengajian pada waktu pagi, pengajian pada waktu zuhur, pada waktu asar, maghrib dan isya'. Seluruh pengajian-pengajian tersebut hidup dengan berselawat ke atas Nabi sallallahu 'alaihi wasallam dan memperingati Nabi sallallahu 'alaihi wasallam, memuji Nabi sallallahu 'alaihi wasallam, mempelajari sunnah-sunnah baginda, ucapan-ucapan baginda, perbuatan-perbuatan baginda sallallahu 'alaihi wasallam dan di dalamnya ada keberkatan. Maka mereka tidak perlu -setelah ini semua kepada apa? kepada sambutan-sambutan itu. Mereka tidak perlu kepada sambutan-sambutan itu.

Seandainya kamu pada setiap hari makan tengahari bersama saudara-saudara kamu di dalam satu talam, adakah perlu untuk kamu mengkhususkan satu hari dengan mengatakan: "kami ingin berhimpun beramai-ramai". Apa yang kamu maksudkan dengan perhimpunan beramai-ramai? Setiap hari kamu semua telah berhimpun. Akan tetapi, apabila berlakunya perpisahan, yang ini di rumahnya, yang itu di rumahnya, yang ini ada dapurnya sendiri, yang itu ada dapurnya sendiri, yang ini ada makanannya sendiri, yang itu ada makanannya sendiri, maka pada ketika itu perlu untuk mereka mengatakan: "kami ingin berhimpun beramai-ramai untuk makan bersama-sama pada satu hari tertentu, barangkali dalam sebulan sekali, dua bulan sekali, tiga bulan sekali, setahun sekali, mereka perlu kepada itu. Sekiranya setiap hari mereka sudah sentiasa bersama, adakah perlu mereka mengatakan: "kami ingin berhimpun beramai-ramai?" jawapannya tidak, kerana mereka sentiasa bersama.

Maka mereka mengatakan: "kami ingin membuat sambutan (untuk Nabi)," kenapa? kerana mereka tidak menyambut baginda pada setiap hari dengan melaksanakan sunnah-sunnah baginda sallallahu 'alaihi wasallam. Kalau seandainya mereka menghidupkan sunnah-sunnah baginda pada setiap hari, nescaya mereka tidak akan duduk mentalqinkan kepada orang ramai, "ambillah daripadaku cara berselawat ke atas Nabi sallallahu 'alaihi wasallam, janganlah ambil daripada Nabi sallallahu 'alaihi wasallam akan tetapi ambillah daripadaku". Dan mereka memaksakan bidaah dan hal-hal baharu di dalam agama ini kepada orang ramai, "berkata habib fulan, berkata sayyid fulan, berkata jaddi fulan, berkata hubabati fulan" dan yang seumpamanya. Ini semua adalah perbuatan menyibukkan manusia daripada petunjuk, daripada kebenaran, daripada jalan yang lurus. Oleh sebab itu, mereka mengatakan: "kami ingin menghidupkan peringatan hari kelahiran baginda sallallahu 'alaihi wasallam".

Adapun kita, maka segala puji bagi Allah, setiap hari kita bersama Nabi sallallahu 'alaihi wasallam, kita mengingati baginda. bukankan begitu? Setiap hari di dalam pengajian kita, kita menyebutkan sunnah Nabi sallallahu 'alaihi wasallam, sabda Nabi sallallahu 'alaihi wasallam, Nabi sallallahu 'alaihi wasallam melakukan hal itu dan ini, Nabi sallallahu 'alaihi wasallam telah memerintahkan itu dan ini, Nabi sallallahu 'alaihi wasallam telah melarang daripada itu dan ini, maka segala puji bagi Allah atas taufik-Nya.

Kita berjalan di atas sunnah Nabi sallallahu 'alaihi wasallam dan apa yang ditempuh oleh para sahabat radhiallahu anhum, berbeza dengan selain kita yang meninggalkan sunnah-sunnah Nabi. kamu membaca di dalam kitab-kitab mereka, yang ada hanyalah berkata fulan. baik di dalam bab taharah, bab solat, bab zakat, bab puasa, bab haji, yang ada hanyalah: "berkata fulan demikian dan demikian dan demikian". Tidak ada "berkata Rasulullah". Tidak ada disebutkan apa yang sabit daripada baginda sallallahu 'alaihi wasallam.

Maka selayaknya mereka kembali merujuk kepada kitab-kitab Imam Syafi'i rahimahullah dalam keadaan mereka menisbahkan diri mereka kepada mazhab beliau dengan penisbahan yang besar padahal hakikatnya tidak begitu. Rujuklah kitab-kitab Imam Syafi'i. Lihat bagaimana beliau menyebut Nabi sallallahu 'alaihi wasallam.

Kasihan Imam Syafi'i, beliau tidak tahu tentang hak Nabi sallallahu 'alaihi wasallam kerana beliau tidak melakukan sambutan maulid Nabi sallallahu 'alaihi wasallam. Kasihan Imam Syafi'i. Puak ini lebih alim daripada Imam Syafi'i, lebih alim daripada Imam Malik, lebih alim daripada Imam Ahmad, bahkan lebih alim daripada Sa'id bin Musayyab, Urwah bin Zubair, Ubaidullah bin Abdillah bin Utbah bin Mas'ud, dan lebih alim daripada fuqaha Madinah, bahkan mereka lebih alim daripada para sahabat, lebih alim daripada Abu Bakr, Umar, Uthman, Ali dan seluruh sahabat. Bahkan mereka lebih alim hatta daripada Nabi sendiri sallallahu 'alaihi wasallam. mereka telah sampai kepada suatu tahapan yang mana Nabi sendiri tidak sampai ke tahapan tersebut. mereka telah sampai kepada suatu tahapan yang mana para sahabat juga tidak sampai kepada tahapan tersebut. Dan semua ini mengisyaratkan kepada "istidrak" (usaha memperbaiki) ke atas agama. oleh sebab itu Imam Malik berkata:

مَن أَحدَثَ حَدَثًا أَو ابتَدَعَ بِدعَةً يَرَى أَنَّهَا حَسَنَةٌ فَقَد زَعَمَ أَنَّ مُحَمَّدًا خَانَ الرِّسَالَةَ. قَالَ تَعَالَى: اليَومَ أَكمَلتُ لَكُم دِينَكُم وَأَتمَمتُ عَلَيكُم نِعمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الإِسلَامَ دِينًا

Maksudnya: "Barangsiapa yang mengada-adakan sesuatu atau mereka-reka suatu bidaah yang dia memandangnya baik maka sungguh dia telah mendakwa bahawa Muhammad telah mengkhianati risalah. Allah taala berfirman: ((Pada hari ini telah Aku sempurnakan untuk kamu agama kamu, dan telah aku sempurnakan ke atas kamu nikmat-Ku, dan telah aku redha untuk kamu agama Islam itu sebagai agama kamu.))"

Maka berjaga-jagalah daripada perbuatan membuka pintu-pintu ini, iaitu pintu mengada-adakan, mencipta, menginovasi dan yang seumpamanya (di dalam hal agama). semua ini adalah sebab datangnya musibah dan malapetaka dan sebab timbulnya keburukan dan hilangnya cahaya. Akan tetapi seorang muslim itu hendaklah berpegang teguh dengan sunnah Nabi sallallahu 'alaihi wasallam, menggigitnya dengan gigi-gigi gerahamnya, memeliharanya, mengamalkannya semampunya sebagaimana yang dikatakan oleh Imam Ahmad:

إِذَا استَطَعتَ أَلَّا تَحُكَّ رَأسَكَ إِلَّا بأَثَرٍ فَافعَل

Maksudnya: "Sekiranya kamu mampu untuk tidak menggaru kepala kamu kecuali berdasarkan athar, maka lakukanlah."

Maknanya hendaklah kita berusaha sekuat mungkin untuk tidak mengucapkan sesuatu ucapan atau melakukan sesuatu perbuatan melainkan dengan kita memiliki dalil padanya daripada Nabi sallallahu 'alaihi wasallam supaya datangnya keberkatan di dalam urusan kita, keadaan kita, badan kita, harta kita, keluarga kita, dan di dalam kehidupan kita, kita menjadi orang yang mendapatkan keberkatan. kalau tidak demikian, nescaya akan pergilah keberkatan itu sekiranya kita menjadi orang-orang yang melakukan bidaah di dalam agama -naudzu billah min zalik-, orang orang yang mencipta (hal baharu di dalam agama) atau kita menjadi orang-orang yang melakukan "istidrak" ke atas agama allah, ke atas Al-Quran dan sunnah, (kita katakan sebagai contohnya) tidak, masih ada perkara baik (yang tidak dijelaskan), masih ada sesuatu, masih ada "qurbah", agama (yang tidak dijelaskan) yang tidak datang di dalam Al-Quran dan sunnah, padahal Allah telah berfirman:

اَليَومَ أَكمَلتُ لَكُم دِينَكُم

Maksudnya: ((Pada hari ini telah Aku sempurnakan untuk kamu agama kamu))

dan mereka meengatakan: "Tidak. masih ada yang tersisa", iaitu daripada apa yang diwahyukan kepada mereka oleh syaitan kerana bidaah-bidaah ini, pertama sekali datang daripada puak yang lebih kafir daripada Yahudi dan Nasrani. bidaah-bidaah ini, sekiranya ada di kalangan ahli ilmu yang mengatakannya, maka itu hanyalah ikutan dan ia bukanlah hujah kerana Allah telah berfirman:

فَإِن تَنَازَعتُم فِي شَيءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللّهِ وَالرَّسُولِ إِن كُنتُم تُؤمِنُونَ بِاللّهِ وَاليَومِ الآخِر ذَلِكَ خَيرٌ وَأَحسَنُ تَأوِيلًا

Maksudnya: ((Sekiranya kamu bertelagah tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah dan Rasul sekiranya benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhir. Yang demikian itu lebih baik dan lebih bagus akibatnya.))

Kalau seandainya mereka menyebutkan apa yang mereka sebutkan itu daripada ahli ilmu, bahawa ada di antara ahli ilmu yang berpandangan sambutan maulid Nabi ini digalakkan, maka kita kitakan kepada mereka: "Di antara kami dan kamu adalah Al-Quran dan sunnah,

فَإِن تَنَازَعتُم فِي شَيءٍ...

Maksudnya: ((Sekiranya kamu semua bertelagah tentang sesuatu...))

Sekarang kami sedang bertelagah dengan kamu,

فَإِن تَنَازَعتُم فِي شَيءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللّهِ

Maksudnya: ((Sekiranya kamu semua bertelagah tentang sesuatu maka kembalikanlah ia kepada Allah...))

Iaitu kepada kitab-Nya,

وَالرَّسُولِ...

Maksudnya: "Dan kepada Rasul..."

Iaitu kepada sunnah baginda,

إِن كُنتُم تُؤمِنُونَ بِاللّهِ وَاليَومِ الآخِر ذَلِكَ خَيرٌ وَأَحسَنُ تَأوِيلًا

Maksudnya: ((Sekiranya benar kamu beriman dengan Allah dan hari akhir. Yang demikian itu lebih baik dan lebih bagus akibatnya.))

Maka sangat menghairankan, apabila kita katakan bahawa tempat kembali kita adalah kepada kitab Allah dan sunnah Nabi, mereka malah mengatakan bahawa tempat kembali kita adalah kepada fulan dan 'allan,

فَلَا وَرَبِّكَ لَا يُؤمِنُونَ حَتَّى يُحَكِّمُوكَ فِيمَا شَجَرَ بَينَهُم ثُمَّ لَا يَجِدُوا فِي أَنفُسِهِم حَرَجًا مِمَّا قَضَيتَ وَيُسَلِّمُوا تَسلِيمًا

Maksudnya: ((Demi tuhan kamu, mereka tidaklah beriman sehinggalah mereka menjadikan kamu sebagai hakim pemutus terhadap apa yang diperselisihkan di antara mereka, kemudian mereka tidak mendapatkan di dalam diri mereka perasaan berat terhadap apa yang telah engkau putuskan dan mereka berserah diri dengan sebenar-benarnya.))

Demikianlah, sekarang pertikaian sedang berlaku, kita katakan ia bidaah, mereka mengatakannya sunnah. Kita katakan bahawa ia maksiat, mereka mengatakan ia ketaatan. Kita katakan bahawa ia kesesatan, mereka mengatakan bahawa ia adalah "qurbah". Sekarang perselisihan telah berlaku. bagaimana kita menyelesaikannya? kamu dakwa memiliki ulama kami juga memiliki ulama. kamu dakwa memiliki fuqaha, kami juga memiliki fuqaha yang lebih faqih daripada kamu dan lebih alim daripada kamu. Sekiranya kamu ingin beradu jumlah, maka kami juga memiliki jumlah. Sekiranya kamu ingin beradu ilmu, maka kami juga memiliki ilmu.

فَإِن تَنَازَعتُم فِي شَيءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللّهِ وَالرَّسُولِ إِن كُنتُم تُؤمِنُونَ بِاللّهِ وَاليَومِ الآخِر ذَلِكَ خَيرٌ وَأَحسَنُ تَأوِيلًا

Maksudnya: ((Sekiranya kamu bertelagah tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah dan Rasul sekiranya benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhir. Yang demikian itu lebih baik dan lebih bagus akibatnya.))

Maka nasihat untuk setiap mukmin dan mukminah, agar kembali kepada kitab dan sunnah dan menjadikan kitab dan sunnah sebagai hakim pemutus dan janganlah mengucapkan sesuatu yang menyalahi kitab dan sunnah. mereka mengatakan bahawa mereka itu semua ulama, kita katakan bahawa mereka ini juga ulama. dan ulama terkadang salah dan benar ataukah mereka maksum (terpelihara daripada kesalahan)? para ulama terkadang benar dan terkadang juga keliru, terkadang mereka mengetahui dan terkadang mereka tidak mengetahui. barangsiapa yang mengatakan ini (sambutan maulid Nabi digalakkan) maka dia telah keliru. hujah ada pada dalil. Yang dinilai benar itu adalah dengan dalil. Demikianlah.

inilah yang diinginkan dan inilah yang diperintahkan, semoga Allah memelihara kami dan kamu semua. kita cukupkan sampai di sini.

Subhanaka wabihamdik la ilaha illa anta astaghfiruka waatub ilaik."
____________________________________


Sumber : https://t.me/bajmaal/1402

Ditranskrip, diterjemahkan dengan olahan oleh:
Abu Ahmad Wan Shahir Husairil bin Wan Perwira.
28 Syaaban 1442 H
Perlis, Malaysia
____________________________________

PS: Ini hanyalah sedikit daripada sekian banyak penyimpangan orang ini. Lihat 25 kebatilannya di dalam buku "Membantah Sufi Umar bin Hafiz & Ali Al-Jufri" yang telah dibantah secara tuntas oleh Fadhilatu al-Syaikh Yahya bin Ali Al-Hajuri hafizahullah. Buku akan diterbitkan tak lama lagi insyaAllah.

Berhutang Atau Berniaga Lebih Baik Daripada Meminta-minta

Berhutang Atau Berniaga Lebih Baik Daripada Meminta-minta Ditulis oleh: Abu Fairuz Abdurrohman Al Qudsy Al Jawy Al Indonesy -semoga Alloh me...